Kerajaan Negeri Perak melalui Sekretariat Mahasiswa Perak telah membentuk Jawatankuasa Penaja Persatuan Anak Perak di United Kingdom (UK). Delegasi Sekretariat Mahasiswa Perak yang diketuai oleh Pengerusi Yayasan Perak, Dato' Asmuni Awi telah bertemu beberapa pihak untuk berbincang secara lebih serius untuk merealisasikan hasrat ini. Objektif penubuhan persatuan ini adalah untuk menjadi penghubung antara kerajaan negeri Perak dengan pelajar di UK dalam hal ehwal kebajikan, pendidikan dan pembangunan jati diri pelajar. Selain itu, Persatuan Anak Perak ini juga akan menjadi platform untuk kerajaan menyalurkan sebarang maklumat dan perkembangan semasa termasuk inisiatif dan insentif kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar.

Dalam pertemuan bersama Pengarah Education Malaysia (EM) London, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, beliau menzahirkan sokongan terhadap hasrat Kerajaan Negeri Perak untuk menubuhkan Persatuan Anak Perak di UK. Menurutnya, pihak EM London akan memberi kerjasama dan perhatian penuh untuk menjayakan usaha ini. Bagi EM London, persatuan ini boleh memainkan peranan yang besar untuk membantu misi EM London terutamanya sebagai pemudah cara dalam hal ehwal pelajar bukan sahaja di UK, malah sebahagian besar Eropah juga.

Kerajaan Negeri Perak berhasrat agar persatuan ini berdaftar secara rasmi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London. Sekretariat Mahasiswa Perak akan memuktamadkan proses pendaftaran persatuan ini dalam masa yang terdekat, diikuti dengan majlis pelancarannya secara rasmi.

KHAIROL NAJIB HASHIM
Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Perak
25 Disember 2019

BERITA SEMASA