YP GALA DINNER

Yayasan Perak telah menganjurkan YP Gala Dinner Tahun 2024 yang julung-julung kali diadakan sebagai simbolik kepada penjenamaan semula organisasi yang signifikan dalam mentransformasikan Yayasan Perak ke arah sebuah agensi yang lebih cekap dan efisien.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan merangkap Pengerusi Yayasan Perak. Majlis gilang-gemilang ini telah diadakan di Casuarina Convention Centre, Meru Ipoh.
Penganjuran YP Gala Dinner 2024 merupakan satu platform dalam meraikan jalinan kerjasama erat antara Yayasan Perak bersama rakan-rakan korporat dan strategik bagi menghargai sokongan yang berterusan kepada Yayasan Perak dalam mentransformasikan peranan dan fungsinya dengan lebih efisien dan relevan. Selain itu, rakan-rakan media turut diraikan pada malam tersebut atas sokongan dan kerjasama dalam membantu Yayasan Perak menyalurkan liputan dan informasi terbaik kepada rakyat negeri Perak sehingga ke hari ini.
Di samping itu, objektif mengadakan Gala Dinner tersebut adalah bagi merakyatkan Yayasan Perak di kalangan semua agensi-agensi Negeri dan Persekutuan bagi sama-sama membangunkan modal insan Negeri ini. Yayasan Perak perlu berada dekat dengan setiap agensi kerana pembangunan modal insan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mendokong aspirasi yang digarap dalam Perak Sejahtera 2030. Setiap agensi mempunyai peranan masing-masing dan memerlukan modal insan yang berkualiti untuk mencapai matlamatnya.
Selain itu, majlis ini memberi pengiktirafan kepada pegawai dan kakitangan yang telah
berkhidmat dengan cemerlang pada tahun 2023 dan 2024 termasuk kakitangan yang telah mencurah bakti melebihi 30 tahun. Majlis ini turut meraikan jasa dan pengorbanan seluruh warga kerja Yayasan Perak di atas pencapaian tahap prestasi tahunan yang telah ditunjukkan dan usaha gigih seluruh warga kerja yang mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi dan keyakinan diri yang teguh untuk membangunkan Yayasan Perak.