MISI
Mencari peluang-peluang projek dan pelaburan baru
Pelaburan melalui projek usahasama dan syarikat pelaburan
Mengembeling sumber-sumber sediada seperti hartanah dan aset-aset lain

OBJEKTIF
Menstabilkan prestasi kewangan
Menjana pendapatan yang berterusan
Menyumbang kepada fungsi penubuhan Yayasan Perak iaitu memajukan bidang pendidikan/pelajaran, sukan, kemajuan masyarakat dan kesenian/kebudayaan

FOKUS & HALA TUJU
Menceburi sektor perladangan kelapa sawit
Pembangunan hartanah
Skim perumahan
Kuari & Pelombongan bijih timah

SKOP & BIDANG KERJA
Mengkaji, menilai dan memberi perakuan yang sesuai terhadap sebarang cadangan pelaburan baru dan projek-projek sedia ada Yayasan Perak di dalam syarikat milikan, bersekutu, pelaburan dan usahasama Yayasan Perak.

Mengkaji, menilai dan memberi perakuan yang sesuai terhadap sebarang cadangan kewangan dan projek sedia ada Yayasan Perak yang melibatkan hartanah dan aset Yayasan Perak.

Melaporkan secara rasmi kemajuan cadangan-cadangan projek pelaburan.

Melaporkan secara rasmi cadangan-cadangan yang melibatkan kewangan kepada Anggota Yayasan Perak

AKTIVITI

Yayasan Perak adalah sebuah organisasi “self financing”, mewujudkan dan mencari sumber pendapatannya sendiri tanpa geran ataupun bantuan kewangan terus daripada kerajaan. Justeru itu, sejak awal penubuhannya Yayasan Perak telah menjana pendapatannya untuk bukan hanya menampung operasi dan keperluan organisasi malah membiayai aktiviti utama penuhubuhannya iaitu memajukan bidang pendidikan, kemajuan masyarakat, sukan dan kesenian/kebudayaan.

Sumber pendapatan awal Yayasan Perak dijana melalui aktiviti-aktiviti pembalakan, pendapatan dari ufti perlombongan, pelaburan dalam saham-saham terpilih dan menceburi secara langsung dalam sektor perumahan. Dalam sektor pembangunan hartanah Yayasan Perak turut berperanan mewujudkan beberapa sekim perumahan di Negeri Perak antaranya ialah pembangunan Bandar Baru Teluk Intan, Pusat Bandar Baru Bagan Serai, Bandar Baru Pantai Remis, Skim Perumahan Taman Hiburan Tambun, Taman Yayasan Kamunting, Taman Mewah Indah Batu Gajah, pembangunan Perindustrian Ringan di Bercham, pembangunan bercampur di Tambun yang dibangunkan bersama Sunway City (IPOH) Sdn. Bhd. dan beberapa lagi pembangunan kawasan di sekitar Negeri Perak. Projek skim perumahan yang sedang dibangunkan pada masa kini adalah “The Enclave” iaitu perumahan mewah di Jalan Sultan Azlan Shah dan skim perumahan “Yayasan Palm Regency” di Jelapang.

Dalam sektor pendidikan, selaras dengan fungsi penubuhannya, Yayasan Perak telah menubuhkan Sekolah Antarabangsa Ipoh di Jalan Watson Ipoh yang diuruskan tadbir sepenuhnya oleh Yayasan Perak. Menyedari hakikat sekolah berkenaan perlu diperkembangkan berbanding dengan sumber tenaga dan modal yang terhad Yayasan Perak terpaksa menyerahkan pengurusan sekolah tersebut kepada badan lain. Namun begitu tapak sekolah dan struktur sediada terus menjadi aset Yayasan Perak sehingga kini. 

Dalam sektor pendidikan juga Yayasan Perak pernah memiliki ekuiti dalam Institut Teknologi Perak yang akhirnya ekuiti tersebut terpaksa dilepaskan sebagai salah satu proses pengstrukturan semula syarikat milikan, syarikat bersekutu dan syarikat pelaburan Yayasan Perak.
Antara penyumbang terbesar kepada penjanaan sumber pendapatan Yayasan Perak ialah melalui projek penswastaan Loji Rawatan Bekalan Air Negeri Perak yang dijalankan secara usahasama dengan Metropolitan Utilities Corporation Sdn. Bhd. Sehingga kini pendapatan daripada projek tersebut masih diperolehi.

Yayasan Perak juga turut memegang ekuiti dalam Paloh Medical Centre iaitu syarikat yang terlibat secara langsung dalam pengendalian dan pengurusan Hospital Pantai Putri yang sedang beroperasi di Jalan Tambun Ipoh.

Kini fokus dan hala tuju Yayasan Perak beralih pelaburan ke sektor pertanian khususnya ladang kelapa sawit. Yayasan Perak mensasarkan memiliki seluas 25,000 ekar ladang kelapa sawit di masa akan datang. Sehingga kini Yayasan memiliki seluas kira-kira 13,300 ekar ladang kelapa sawit di Bintulu Sarawak. Ladang kelapa sawit yang di kenali dengan Ladang Sungai Pandan kini telah pun mula berhasil. Di samping itu Yayasan Perak turut memiliki ladang kelapa sawit di Bidor dengan keluasan kira-kira 250 ekar yang telah mengeluarkan hasil.Yayasan Perak juga sedang membangunkan kawasan seluas lebih kurang 300 ekar. Kedua-dua ladang kelapa sawit ini diurus tadbir oleh syarikat milik penuh Yayasan Perak YP Nominees Holdings Sdn. Bhd.

Sebagai projek sampingan Yayasan Perak juga memiliki seluas kira-kira 113 ekar kolam udang yang kini disewa kepada 5 pengusaha. Namun begitu Yayasan Perak akan terus memberi penumpuan dan menjurus kepada sektor perladangan kelapa sawit dan sedang berusaha untuk mencari kawasan-kawasan baru untuk dibangunkan dengan mengembeling modal, tenaga kerja serta pengalaman yang ada.