NGOPI SISWA : DARI SUARA MAHASISWA, LAHIR MASA DEPAN PERAK
Kira-kira 150 mahasiswa anak Perak dari UKM, UPM, UITM Shah Alam, USIM dan UPNM berhimpun dalam Program Ngopi Siswa Bersama Cikgu Saarani, satu ruang dialog terbuka yang meraikan suara anak muda, idea segar dan harapan generasi masa hadapan.
Bertempat di Pusanika UKM, Bangi, program ini mempertemukan mahasiswa secara langsung dengan kepimpinan negeri melalui YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Dato’ Khairuddin bin Abu Hanipah, yang hadir mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Mahasiswa bukan sekadar hadir sebagai peserta, tetapi didengari sebagai rakan strategik dalam membentuk hala tuju negeri. Pandangan, cadangan dan aspirasi yang dikongsi menjadi input penting kepada Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh dasar serta program pembangunan modal insan.
Sebagai simbol amanah, keprihatinan dan sokongan berterusan, Sumbangan Sara Hidup Mahasiswa Anak Perak serta Insentif Siswa Yayasan Perak turut disampaikan, bukti komitmen kerajaan negeri dalam meringankan beban dan menyokong perjalanan pendidikan anak Perak.
Ngopi Siswa bukan sekadar sesi pertemuan, tetapi cerminan pendekatan Kerajaan Negeri Perak yang responsif, inklusif dan berpaksikan suara generasi muda, demi melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan membina masa depan Negeri Perak yang lebih gemilang.
