PENGENALAN
YAYASAN PERAK
Yayasan Perak ditubuhkan pada 12 Julai 1979 mengikut Enakmen Yayasan Perak Bil. 2 Tahun 1979. Enakmen asal ini telah dipinda dan digantikan dengan Enakmen Yayasan Perak Bil. 6 Tahun 1994 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 29 Ogos 1994.
Pada peringkat awal penubuhan Yayasan Perak, ianya telah diuruskan oleh seorang pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak secara sambilan. Mulai Julai 1984, YAB Menteri Besar telah mengarahkan supaya Yayasan Perak ditadbir dan diuruskan secara sepenuh masa.
Sehubungan itu, jawatan Pengurus Besar dan kakitangannya diwujudkan dan Yayasan Perak mula mempunyai pejabatnya sendiri. Pada awalnya Yayasan Perak telah menyewa bilik di Bangunan Seri Kinta dan telah beroperasi di situ selama dua tahun. Kemudian Yayasan Perak telah berpindah ke bangunannya sendiri di Wisma Yayasan Perak di Jalan Sultan Idris Shah pada tahun 1986 dan bangunan ini masih digunakan sehingga sekarang.
Semua pengubahsuaian bangunan ini, lambang FMS (Federal Malay States) dikekalkan. Bangunan ini telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan dalam tahun 1991. Kini, usia bangunan Yayasan Perak telah mencecah lebih 100 tahun (1904).
Seiring dengan perkembangan zaman dan cabaran semasa, Yayasan Perak telah memperluaskan skop perkhidmatannya merangkumi pelbagai inisiatif baharu yang lebih berfokus, inklusif dan berimpak tinggi. Yayasan Perak turut komited untuk menjadi platform yang dinamik dalam merapatkan jurang sosial dan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Kini, selepas lebih empat dekad penubuhannya, Yayasan Perak terus berkembang sebagai organisasi yang berwibawa, dipercayai dan relevan dalam menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri Perak ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri yang seimbang serta mampan.

