Penglihatan Jelas, Potensi Pembelajaran Terserlah

Di dalam bilik darjah, setiap anak mempunyai impian dan potensi untuk berkembang. Penglihatan yang jelas membantu mereka mengikuti pembelajaran tanpa rasa sukar atau ketinggalan. Mereka dapat membaca, menulis dan memahami pembelajaran dengan lebih baik dan keyakinan diri turut meningkat.

Bagi menangani cabaran ini, Yayasan Perak menyediakan Program Bantuan Cermin Mata YP Eye Sinar untuk membantu murid-murid yang memerlukan. Inisiatif ini memberi sokongan kepada mereka agar dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa dan berpeluang mencapai potensi diri.

Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata YP Eye Sinar 2026 Daerah Perak Tengah diadakan di SMK Seri Iskandar, seramai 10 orang murid telah menerima manfaat cermin mata baharu yang disampaikan oleh YBrs. Puan Sarah Syazwani binti Saari, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak Dun Bota.

Yayasan Perak komited dalam memastikan kekangan penglihatan tidak menjadi halangan kepada pendidikan buat anak Perak. Cermin mata mungkin kelihatan sederhana, namun manfaatnya besar dalam membantu murid membuka peluang untuk mereka melangkah lebih jauh.