SUMBANGAN KORPORAT DI BAWAH INISIATIF TANGGUNGJAWAB SOSIAL: PENYERAHAN PERALATAN ICT RUANG E- DIGITAL BAGI KOMUNITI PELAJAR LUAR BANDAR
10 Februari 2026 – Penyampaian sumbangan peralatan ICT bagi mewujudkan Pusat Akses Digital Gerik merupakan sebahagian daripada usaha kolaboratif yang melalui kerjasama Yayasan Perak dengan sokongan pihak korporat iaitu Loyal Engineering Sdn. Bhd., dalam menyokong pemerkasaan pembelajaran digital di kawasan luar bandar.
Sumbangan peralatan ICT ini melibatkan penyediaan komputer dan peralatan sokongan berkaitan bagi kegunaan dan manfaat kanak-kanak, remaja dan belia setempat.
Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi, di samping menyokong pembangunan kemahiran literasi digital selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
Sumbangan ini telah disampaikan kepada YB Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak. Peralatan yang disumbangkan ini seterusnya akan ditempatkan dan dimanfaatkan sepenuhnya di Pusat Akses Digital Gerik untuk kegunaan komuniti setempat.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Perak bersama rakan strategik sektor korporat dalam merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, serta memperkukuh pembangunan modal insan melalui penyediaan akses pendidikan digital yang lebih inklusif dan mampan.
Yayasan Perak mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan korporat daripada mana-mana syarikat korporat dan menyeru anak-anak Perak yang telah berjaya dalam bidang masing-masing untuk kembali berbakti kepada Negeri Perak melalui kerjasamq sumbangan tanggungjawab sosial melalui Yayasan Perak.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Puan Nor Huda, Pengurus Kewangan dan Encik Mohamad Noor Arif, Pengurus Kanan Projek & Pelaburan di talian 05-2052929.
