Sokongan Kejayaan Anak Perak: Buku Rujukan Tambahan SPM Tuisyen Cikgu Saarani Diteruskan Tahun 2026

Kerajaan Negeri Perak hari ini meneruskan pelaksanaan Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM 2026 di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), yang diterajui oleh Yayasan Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, dengan penyampaian buku rujukan tambahan kepada sembilan orang pelajar calon SPM sebagai simbolik pelaksanaan inisiatif ini.

Inisiatif ini merupakan antara pendekatan berfokus dalam membantu calon SPM, khususnya pelajar berpotensi lulus, menguasai subjek teras melalui bahan pembelajaran yang lebih tersusun, ringkas dan berkesan. Buku rujukan ini dibangunkan oleh guru dan pendidik berpengalaman berdasarkan analisis keperluan sebenar murid di Negeri Perak, dengan penekanan kepada penguasaan konsep serta teknik menjawab.

Pada tahun ini, sebanyak 63,303 naskhah buku rujukan tambahan SPM akan diedarkan kepada pelajar di seluruh Negeri Perak, khususnya dalam kalangan calon berpotensi lulus yang memerlukan bimbingan tambahan. Jumlah ini meningkat berbanding lebih 53,000 naskhah yang diedarkan pada tahun lalu, dengan keseluruhan peruntukan kira-kira RM1 juta.

Dalam usaha memperluas capaian, inisiatif ini turut diperluaskan buat pertama kalinya kepada calon SPM berpotensi lulus di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sokongan pendidikan secara lebih tersusun dan bersasar kepada pelajar yang memerlukan.