STPM 2025 Perak Terus Melakar Peningkatan Positif

Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Negeri Perak menunjukkan pencapaian yang membanggakan dengan peningkatan dalam beberapa indikator utama berbanding tahun sebelumnya.

PNGK Negeri meningkat kepada 2.91 berbanding 2.85 pada tahun 2024. Peningkatan sebanyak 0.06 mata ini sekali gus menjadikan pencapaian STPM 2025 sebagai yang terbaik bagi semua kategori sejak sistem peperiksaan STPM berasaskan semester diperkenalkan pada tahun 2013. Kadar lulus penuh turut mencatat peningkatan kepada 99.15% melibatkan 2,808 calon.

Selain itu, seramai 116 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00 berbanding 106 calon pada tahun sebelumnya, manakala 44 buah sekolah mencatatkan kelulusan 100%.

Yayasan Perak merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh calon STPM 2025 atas pencapaian cemerlang yang berjaya diraih. Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen dan dedikasi para guru, pengetua, ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Negeri Perak dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus menjadi kebanggaan negeri.

Pencapaian ini turut didorong oleh pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan di negeri ini, termasuk Program Tuisyen Cikgu Saarani yang membantu memperkukuh persediaan akademik pelajar ke arah kecemerlangan.

Sebagai agensi yang komited dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan Negeri Perak, Yayasan Perak sentiasa menyokong pelbagai inisiatif yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mencapai potensi terbaik mereka.

Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada kemajuan Negeri Perak, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.