Bengkel Pelaksanaan Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030

Bengkel ini diadakan bagi memberi pendedahan berkaitan kemasukan data pelaksanaan program-program pendidikan ke dalam dashboard Pelan Strategik yang telah dibangunkan sebagai platform pemantauan utama pelaksanaan pelan ini.

Melibatkan 11 agensi penggerak, dashboard atau papan pemuka ini membolehkan status pelaksanaan setiap inisiatif dipantau secara lebih sistematik dan menyeluruh. Pendekatan yang dilaksanakan juga bersifat lebih dinamik, di mana dashboard ini bukan sahaja dipantau oleh satu agensi, malah boleh diakses serta dikemas kini sendiri oleh setiap agensi penggerak mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan rasa pemilikan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan jabatan dan agensi yang terlibat, sekali gus memperkukuh kerjasama serta memastikan pelaksanaan pelan pendidikan ini berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.

Diharapkan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Sejahtera Negeri Perak 2030 ini, usaha memperkasa pendidikan negeri dapat terus diperkukuh bagi melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berdaya saing serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan dan sosioekonomi Negeri Perak