Mengukuhkan Ukhuwah, Membina Masa Depan Anak Perak

Majlis Berbuka Puasa bersama para pelajar di bawah Inisiatif Empower Tahfiz Yayasan Perak yang mengikuti pengajian Diploma TVET Pengurusan Mutawif Umrah dan Ziarah melalui kerjasama strategik dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) telah berlangsung dengan penuh kemesraan di Al Rawsha Restaurant, Kuala Lumpur.

Majlis ini menjadi platform bermakna untuk mengeratkan ukhuwah serta merapatkan hubungan antara Yayasan Perak, pihak UniRazak dan para pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam program ini. Dalam masa yang sama, ia turut mencerminkan keprihatinan Yayasan Perak terhadap kebajikan serta perkembangan para pelajar.

Dalam suasana santai dan penuh keberkatan Ramadan, Yayasan Perak turut mengambil peluang berinteraksi secara langsung dengan para pelajar bagi mendapatkan maklum balas serta melihat perkembangan mereka selepas beberapa bulan mengikuti pengajian.

Perkembangan yang ditunjukkan amat memberangsangkan. Para pelajar dilihat semakin berkeyakinan, matang dan bersemangat menimba ilmu. Pihak UniRazak juga memberikan maklum balas yang sangat baik terhadap komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar anak Perak ini.

Yayasan Perak yakin bahawa inisiatif Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan dan masa hadapan anak Perak berada di landasan yang tepat. Insya-Allah, para pelajar ini bakal menjadi mutawif yang berilmu, berakhlak serta mampu mengharumkan nama negeri Perak pada masa hadapan.

Semoga ukhuwah yang terjalin terus diperkukuh dan usaha ini menjadi asbab kepada keberkatan serta kejayaan generasi anak Perak akan datang.