𝗦𝗣𝗠 𝟮𝟬𝟮𝟰: 𝗞𝗢𝗠𝗜𝗧𝗠𝗘𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗧𝗘𝗥𝗨𝗦𝗔𝗡 𝗬𝗔𝗬𝗔𝗦𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗞 𝗠𝗘𝗡𝗬𝗢𝗞𝗢𝗡𝗚 𝗞𝗘𝗖𝗘𝗠𝗘𝗥𝗟𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗔𝗞 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜

IPOH – Yayasan Perak merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada 27,938 calon SPM 2024 di seluruh negeri Perak atas pencapaian yang sangat membanggakan.
eputusan SPM tahun ini seperti mana diumumkan Jabatan Pendidikan Negeri Perak pagi tadi, mencatatkan peningkatan prestasi dengan Gred Purata Negeri (GPN) yang bertambah baik kepada 4.63 berbanding 4.75 pada tahun 2023. Seramai 25,774 pelajar atau 93.86% layak menerima sijil, manakala 937 calon (3.41%) telah mencapai keputusan cemerlang.
Sebagai agensi yang sentiasa komited dalam memperkasa pendidikan di negeri ini, Yayasan Perak berbangga kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan prestasi calon-calon SPM 2024. Antara program utama yang dikenal pasti memberi impak besar termasuk:
- Program Bantuan Makanan Percuma Di Bawah Tuisyen Cikgu Saarani
Melibatkan seramai 27,307 pelajar, program ini menyediakan bantuan makanan percuma selama 20 hari persekolahan dengan peruntukan sebanyak RM5 sehari bagi setiap pelajar. Inisiatif ini telah menyumbang kepada peningkatan kehadiran pelajar dalam kelas-kelas tambahan, seterusnya membantu pencapaian akademik mereka. Sebanyak RM2.73 juta telah dibelanjakan dan diselaraskan oleh Yayasan Perak bagi menjayakan program ini. - Program Jelajah Nyalaan Bara Api 2024
Merupakan program motivasi berskala negeri yang telah dilaksanakan di 12 daerah melibatkan 24 sesi. Program ini memberi fokus kepada dua kumpulan sasaran utama iaitu pelajar berpotensi lulus dan pelajar berpotensi cemerlang. Sepanjang tempoh pelaksanaan selama satu bulan, seramai 6,000 calon SPM telah disantuni melalui pengisian motivasi dan bimbingan yang menyeluruh di samping memberi semangat serta keyakinan kepada para pelajar menjelang peperiksaan. - Program YP Smart Target A+
Program eksklusif ini menyasarkan 50 pelajar terbaik dari seluruh negeri Perak untuk diberikan bimbingan secara intensif oleh guru-guru cemerlang sebagai mentor dalam setiap subjek. Akses secara langsung kepada guru-guru pakar ini membolehkan pelajar mendapatkan penjelasan serta bimbingan dalam topik-topik yang mencabar. Maklum balas diterima menunjukkan majoriti pelajar menyatakan program ini memberi kesan yang sangat positif terhadap persediaan mereka menghadapi peperiksaan. - Program YP Smart Didik
Program ini menyediakan bantuan buku rujukan tambahan kepada pelajar B40 di sekolah asrama harian yang melibatkan enam subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains. Program ini bertujuan untuk membantu pelajar B40 yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan bahan pembelajaran tambahan, sekali gus memperkukuh kefahaman mereka dalam subjek-subjek teras.
Sebagai sebuah agensi yang menjadikan pendidikan sebagai teras utama, Yayasan Perak percaya bahawa pelaburan dalam bidang ini bukan sekadar membuka laluan kejayaan kepada individu, malah menjadi asas kepada pembinaan sebuah negeri yang berdaya saing dan sejahtera. Kejayaan para pelajar ini membuktikan bahawa pendekatan bersepadu dan sokongan yang berterusan mampu membawa perubahan besar, khususnya dalam kalangan pelajar daripada keluarga B40.
Menjunjung aspirasi Perak Sejahtera 2030, komitmen untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta semua pihak berkepentingan akan diteruskan demi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh setiap anak Perak, tanpa mengira latar belakang.
