𝗧𝗔𝗛𝗡𝗜𝗔𝗛 𝗗𝗨𝗧𝗔 𝗛𝗔𝗥𝗔𝗣𝗔𝗡 𝗬𝗣 𝗦𝗠𝗔𝗥𝗧 𝗧𝗔𝗥𝗚𝗘𝗧 𝗦𝗣𝗠 𝗔+ 𝟮𝟬𝟮𝟰

Setulus ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar Duta Harapan YP SMART Target SPM 2024 atas pencapaian yang amat membanggakan dalam keputusan SPM tahun ini.
Seramai 47 daripada 50 orang pelajar yang menyertai program ini berjaya meraih keputusan cemerlang straight A, membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan semangat juang mampu mengubah masa depan.
Kejayaan ini juga adalah hasil daripada usaha bersepadu semua pihak, terutamanya 25 orang guru pakar cemerlang negeri Perak yang dilantik sebagai Mentor Duta Harapan, yang telah memberi bimbingan intensif dalam enam subjek teras — Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains.
YP SMART Target merupakan inisiatif Yayasan Perak bagi memberi dorongan 50 pelajar dari seluruh negeri Perak yang dikenal pasti berpotensi mendapat keputusan cemerlang. Menerusi program ini, pelajar dibantu dengan buku rujukan tambahan dan sokongan pembelajaran berfokus, agar mereka dapat mencapai potensi terbaik dalam peperiksaan.
Lebih daripada itu, pelajar turut diberikan suntikan motivasi dan inspirasi menerusi sesi eksklusif bersama Pakar Motivasi Terkemuka Malaysia, YM. Dr. Haji Tengku Ismadi Bin Tengku Mohamad, yang berperanan memperkukuh aspek kendiri, emosi dan keyakinan pelajar.
Yayasan Perak amat berbangga dengan kejayaan ini. Anda semua adalah bukti bahawa dengan peluang, bimbingan dan kesungguhan, impian mampu menjadi kenyataan.
Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat buat adik-adik lain yang bakal menghadapi SPM akan datang. Teruskan melangkah dengan yakin — kerana masa depan milik mereka yang berani bermimpi dan berusaha!