RAIH KEPUTUSAN CEMERLANG, PELAJAR AACS & BMB DIRAI
Seramai 36 anak-anak cemerlang di bawah Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) dan Biasiswa Menteri Besar Perak (BMB), antara inisiatif di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS), diraikan dalam Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Perak Bersama Anak-Anak Cemerlang di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Anak-anak yang diraikan berjaya menunjukkan pencapaian membanggakan dalam peperiksaan SPM 2025 dengan sebahagian besar daripadanya memperoleh keputusan straight A.
Kesemua penerima turut menerima insentif khas sebanyak RM1,000 berserta sijil penghargaan sebagai galakan untuk terus melakar kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Majlis ini bukan sekadar meraikan keputusan peperiksaan, tetapi menghargai usaha, disiplin, pengorbanan serta doa yang mengiringi perjalanan anak-anak ini sehingga berjaya mencapai kecemerlangan.
Di sebalik setiap keputusan yang membanggakan, ada ibu bapa yang sanggup berkorban, ada guru yang tidak pernah jemu membimbing, dan ada anak-anak yang terus percaya bahawa cabaran hidup bukan alasan untuk berputus asa.
Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan akan terus komited membuka ruang serta memberi bimbingan supaya anak-anak yang berpotensi tidak tercicir hanya kerana keadaan hidup yang mencabar.
Semoga lebih ramai anak Perak terus melangkah jauh, membina masa depan yang lebih baik dan suatu hari nanti kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negeri tercinta.
