DANA WAKALAH YPN BANTU RINGANKAN BEBAN PESAKIT DIALISIS YANG KURANG BERKEMAMPUAN
YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. (YPN), anak syarikat Yayasan Perak, memperluas manfaat Dana Wakalah melalui penyaluran sumbangan berjumlah RM10,000 kepada PEIP Healthcare Sdn. Bhd. (PHSB) bagi menyokong pelaksanaan Program Bantuan Suntikan Tambahan EPO Recormon 2000IU bagi pesakit dialisis kurang berkemampuan.
Bantuan tersebut merangkumi pembiayaan suntikan EPO Recormon serta terapi zat besi intravena (IV iron) yang diperlukan bagi membantu pengurusan anemia dalam kalangan pesakit dialisis.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hajah Rozita binti Ramli, mewakili YPN kepada Encik Mohd Norsafizal Md Sapian, Ketua Healthcare, Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn. Bhd., mewakili PHSB. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh YBrs. Dr. Nasreen Khanum binti Nawab Zadah Khan, Pengurus Besar Yayasan Perak yang sentiasa menggalakkan anak syarikat bagi melaksanakan inisiatif yang seiring dengan aspirasi Yayasan Perak dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Negeri Perak.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen YPN dalam memanfaatkan dana wakalah secara bersasar bagi meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga, di samping menyokong kesinambungan rawatan kesihatan mereka.
